Kisah Mavi Marmara: Kapal Bantuan Diserang Demi Palestin

 Kisah benar Mavi Marmara, kapal bantuan Turki yang diserang di laut antarabangsa ketika membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Sejarah, pengorbanan dan harapan baru.

Kisah Benar Mavi Marmara: Kapal Bantuan yang Diserang di Lautan Demi Palestin

Kisah Mavi Marmara mungkin tidak sepopular tragedi Titanic. Namun sejarah ini wajar dikongsi agar dunia tahu perjuangan di sebalik Misi Freedom Flotilla — misi kemanusiaan terbesar untuk membantu rakyat Palestin yang disekat sejak sekian lama.

Apa Itu Mavi Marmara?

Mavi Marmara bukanlah kapal perang. Ia hanyalah sebuah feri penumpang milik Turki sepanjang 93 meter, dibina untuk membawa lebih seribu orang merentasi Selat Bosphorus.

Namun pada Mei 2010, kapal ini menjadi simbol keberanian apabila menyertai Misi Freedom Flotilla, bersama enam kapal antarabangsa lain membawa lebih 10,000 tan bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan, bahan binaan dan makanan untuk rakyat Palestin di Gaza yang disekat.

Mavi Marmara menjadi kapal utama konvoi. Di atasnya, terdapat lebih 600 aktivis dari 36 negara — terdiri daripada doktor, wartawan, ahli politik dan sukarelawan biasa. Mereka tidak bersenjata, hanya berbekal semangat kemanusiaan.

Tragedi Subuh Berdarah – 31 Mei 2010

Pada subuh 31 Mei 2010, kira-kira jam 4.30 pagi, ketika ramai aktivis masih tidur, helikopter dan bot laju tentera musuh mengepung flotilla di perairan antarabangsa — kira-kira 70 hingga 80 batu nautika dari Gaza.

Tiba-tiba bunyi enjin helikopter memecah kesunyian. Dari laut, bot-bot laju mendekat. Lampu sorot menembusi wajah-wajah aktivis yang terpinga. Komando berpakaian hitam turun dari tali, lalu tembakan dilepaskan tanpa amaran.

Dalam sekelip mata, peluru menyalak dan darah membasahi dek kapal.

Aktivis melaungkan takbir “Allahu Akbar!” sambil cuba bertahan dengan hos air, kerusi dan besi paip — apa sahaja yang sempat dicapai. Namun mereka tidak mampu menandingi pasukan bersenjata lengkap.

Di tengah kekacauan itu, seorang anak muda berusia 19 tahun bernama Furkan Doğan, pelajar Turki-Amerika yang sedang merakam peristiwa menggunakan kamera kecil, ditembak lima kali di dada, muka dan belakang kepala.

Pada hari itu, sembilan aktivis gugur syahid, dan seorang lagi meninggal dunia kemudian akibat kecederaan parah.

Kekejaman dan Penahanan

Selepas tembakan reda, dek kapal dipenuhi darah. Yang masih hidup digari satu per satu. Ada yang dipukul dengan popor senjata, ada yang ditolak jatuh ke lantai.

Setibanya di pelabuhan Ashdod, aktivis diseret turun dari kapal. Semua kamera, telefon dan laptop dirampas bagi memadam bukti kekejaman. Namun beberapa rakaman berjaya diseludup keluar dan tersebar ke seluruh dunia, membongkar kekejaman sebenar terhadap misi kemanusiaan.

Dalam tahanan, mereka disumbat ke dalam sel sempit. Ada yang dipukul hanya kerana bertanya, ada yang diugut dengan senjata ketika cuba membantu sahabat yang cedera.

Tiga hari dalam tahanan terasa seperti tiga tahun. Namun akhirnya, selepas tekanan antarabangsa, mereka dibebaskan dan dihantar pulang.

SUMBER : FB Public Health Malaysia

Turki Bangkit Membela Mavi Marmara

Selepas tragedi itu, rakyat Turki bangkit. Bendera musuh diturunkan di Ankara, hubungan diplomatik diputuskan. Ribuan rakyat berarak di Istanbul sambil melaungkan nama syuhada Mavi Marmara.

Mahkamah Turki membuka siasatan. Tahun 2012, empat jeneral tentera musuh didakwa atas jenayah perang, dan waran tangkap antarabangsa dikeluarkan.

Namun, enam tahun kemudian — pada tahun 2016 — politik mengubah segalanya. Tekanan ekonomi, krisis Syria dan diplomasi serantau membawa Turki ke meja rundingan.

Perjanjian ditandatangani:

  • Musuh bersetuju membayar pampasan USD 20 juta kepada keluarga mangsa.
  • Sebagai balasan, kes mahkamah digugurkan.
  • Hubungan diplomatik dipulihkan.

Mavi Marmara: Luka Yang Masih Berdarah

Bagi rakyat Turki, Mavi Marmara bukan sekadar kapal — ia adalah simbol luka, bagaimana anak muda, doktor, wartawan dan sukarelawan ditembak di laut antarabangsa hanya kerana membawa roti dan ubat.

Mereka melihat jenazah dibawa pulang berbalut bendera, namun bertahun kemudian, mereka juga melihat keadilan yang digugurkan di meja politik.

Itulah luka yang masih berdenyut hingga kini — luka yang membuat nama Mavi Marmara sentiasa disebut setiap kali kapal bantuan menuju ke Gaza.

Kini, Misi Flotilla Baharu Menuju Gaza

Kurang daripada 24 jam lagi, Misi Global Sumud Flotilla sedang menghampiri Gaza. Jika anda membuka aplikasi vessel tracker, anda akan melihat titik-titik kapal flotilla bergerak di Laut Mediterranean.

Dan di peta yang sama, di koordinat yang pernah berlumuran darah, di situlah dahulu Mavi Marmara diserang.

Semoga kali ini, kapal-kapal bantuan itu tiba dengan selamat.
Doa kita semua mengiringi para sukarelawan yang berlayar demi kemanusiaan dan kebebasan Palestin.


Post a Comment

N O T a N O K T A H | Designed by NotaNoktah |